Saturday, March 9, 2019

Polis selia tahap keselamatan masjid



MOHD Nor Marzukee Besar menyerahkan sijil penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Dato' Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Wazir Muaz (depan lima dari kanan) pada Majlis Pelancaran Program Satu Masjid Satu Polis di Masjid Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong, Nilai. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman


NILAI: Seramai 26 anggota polis akan menyelia tahap keselamatan di 26 masjid sekitar daerah ini bagi membendung jenayah, terutama kes pecah tabung derma di rumah ibadat itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata beliau akan mengetuai inisiatif melalui Program Satu Masjid Satu Polis (SMSP), termasuk memberi penerangan berkaitan aspek pencegahan jenayah sebelum solat jemaah.

Beliau berkata, anggota bertugas perlu melakukan lawatan berkala ketika solat lima waktu dan sembahyang Jumaat bagi mendapatkan reaksi kariah berhubung tahap keselamatan di masjid.

“Inisiatif ini dijalankan susulan beberapa kes pecah tabung dan kereta milik kariah di masjid.

“Kita tidak mahu kejadian berulang dan pada masa sama, berusaha menjaga kesucian rumah Allah ini daripada jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil pelantikan pegawai perhubungan masjid sempena program SMSP di Masjid Dato Klana Petra Luak Sungai Ujong, Bandar Baru Nilai, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Agama Islam Daerah Seremban, Rozimi Zamri, dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah dan Pengurusan masjid itu, Datuk Wazir Muaz.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Marzukee berkata, statistik menunjukkan 10 penjenayah ditahan kerana mencuri dan memecahkan tabung derma serta kereta di masjid membabitkan kerugian lebih RM10,000 sejak tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, dua individu ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), manakala tiga sudah didakwa di mahkamah.

Sementara itu, Rozimi dalam ucapannya menyarankan pihak masjid memperluas skop dengan memberi bimbingan dan didikan kepada kariah untuk membendung jenayah.

“Kerja membendung kegiatan jenayah bukan tugas polis semata-mata tetapi tanggungjawab bersama umat Islam,” katanya.

BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Perjumpaan Exco Agama Bersama Penyelaras Pentadbiran Masjid Negeri Kedah Darul Aman

ALOR SETAR, 19 JULAI 2020 - Suatu Perjumpaan Exco Agama Bersama Penyelaras Pentadbiran Masjid Negeri Kedah Darul Aman telah diadak...