Wednesday, February 20, 2019

KERAJAAN PUSAT BERI RM50 JUTA UNTUK SYIAR ISLAM DI KEDAH



Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta setahun kepada golongan imam, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir dan Pegawai Penyelia Masjid Daerah (PPMD) bagi memartabatkan syiar Islam di Kedah.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagaimanapun berkata, terdapat pihak tertentu termasuk golongan terbabit tidak mengetahui peruntukan itu diberikan oleh Kerajaan Pusat dalam bentuk geran tahunan.

"Tiap-tiap tahun kita beri tetapi orang tidak tahu yang peruntukan ini datang daripada Kerajaan Pusat dan lazimnya berlaku salah faham di sini.

"Sebab itu saya jelaskan perkara ini hari ini dan saya mahu semua imam, guru KAFA, guru takmir dan PPMD bersama-sama dengan kerajaan menegakkan syiar Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan zakat perniagaan Lembaga Tabung Haji berjumlah RM3,297,105.03 bagi 2011 kepada Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Jamil Khir menyerahkan zakat tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah.

Mengenai zakat berkenaan, Jamil Khir memberitahu, pembayaran zakat itu merupakan komitmen Lembaga Tabung Haji untuk negeri ini dan merupakan acara tahunan bagi membantu mereka yang memerlukan seperti golongan miskin.

"Jumlah pengeluaran zakat kali ini meningkat berbanding RM3.1 juta pada tahun lalu dan saya lihat perkembangan ini merupakan sesuatu yang baik," katanya.

Menurut Jamil Khir, peningkatan jumlah pengeluaran zakat oleh Lembaga Tabung Haji itu memberi gambaran umat Islam mempunyai kemampuan menyimpan wang dalam jumlah yang besar.

"Ini juga menunjukkan tahap ekonomi mereka berkembang selain kuasa beli dan kuasa kewangan umat Islam semakin mengukuh.

"Selain itu, jumlah pendeposit yang layak untuk menunaikan haji juga semakin bertambah," jelasnya.

SUMBER

“Pemudah Cara Urusan Antara JAKIM Dengan Negeri, Dalam Pengurusan Masjid, Program Takmir Dan Pendidikan KAFA”

IMG 20160728 WA0016
“Pemudah Cara Urusan Antara JAKIM Dengan Negeri, Dalam Pengurusan Masjid, Program Takmir Dan Pendidikan KAFA”

“Terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan atas segala sumbangan yang diberikan khususnya dalam melaksanakan fungsi-fungsi JAKIM di negeri. Tuan-tuan dan puan-puan adalah pemudah cara urusan antara JAKIM dengan negeri, dalam pengurusan masjid, program takmir dan pendidikan KAFA. Keberadaan tuan-tuan dan puan-puan menjadikan fungsi-fungsi tersebut berlangsung dengan lebih baik. Manakala JAKIM di peringkat pusat akan sentiasa memikirkan tindakan-tindakan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan dari sudut pemantapan garis panduan, penyelarasan dan pengurusan”.



Berikut adalah antara intipati ucapan YBhg. Tan Sri Dato’ Hj. Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM sempena Executive Talk Ketua Pengarah JAKIM Bersama Pegawai Bahagian Kemajuan Islam (BKI) di Negeri. Majlis tersebut telah berlangsung pada 1 dan 2 November 2016 bersamaan 1 dan 2 Safar 1438H di Nouvelle Hotel Kuala Lumpur.



BKI telah menjemput semua pegawai BKI di Negeri terdiri daripada Pegawai Penyelaras Takmir Negeri (PPTN), Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD), Penyelia KAFA dan Pembantu Takmir. dan seramai 352 orang telah hadir meliputi 10 orang PPTN, 82 orang PPMD, 10 orang Pembantu Takmir dan 250 orang Penyelia KAFA.



Antara objektif majlis ini adalah menjadi platform kepada pengurusan tertinggi Jakim untuk menyampaikan amanat dan nasihat kepada semua pegawai BKI di negeri tentang hal berkaitan pengurusan bagi melahirkan penjawat awam yang berkualiti dalam menggerakkan masyarakat ke arah mencapai matlamat yang seiring dengan nilai akhlak yang mulia. Selain itu, program ini juga adalah merupakan satu saluran bagi membolehkan para peserta berjumpa sesama pegawai dan berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan silaturrahim.



Pengisian yang telah diadakan didalam majlis tersebut adalah

Ice-Breaking
Slot 1: Ceramah “Integriti Menurut Perspektif Islam” olehYBhg. Tuan Haji Hamily Sham bin Harun, Pengarah Pusat Koordiansi dan Pemantauan, Institut Integriti Malaysia (IIM)
Slot 2: Ceramah “Pengurusan Hal Ehwal Islam Di Malaysia” oleh YBhg.    Hajah Hakimah binti Mohd Yusof, Pengarah BKI.
Sesi Khas Bersama Kepimpinan BKI:
               

Moderator: Tn Hj Mohd Ajib bin Ismail, KPP(K) BKI

                  Ahli panel 1. YBhg. Hajah Hakimah binti Mohd Yusof, Pengarah BKI.

                  Ahli panel 2. Ust Nor Hanim binti Abdul Halim, KPP Seksyen KAFA

                  Ahli panel 3. Ust Siti Rahmaniah binti Bachok, KPP Seksyen                                       

Pengimarahan Masjid (PM).

Alhamdulillah, program ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan, serta dapat dimanfaatkan oleh semua warga JAKIM khususnya warga BKI di JAKIM dan di negeri. Mudah-mudahan dengan usaha ini, pengurusan masjid dan KAFA akan bertambah mantap di masa akan datang.

SUMBER

Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Kedah 2017

Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah mengadakan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Kedah 2017 pada 5 Mac 2017 bertempat di Dewan Utama SP Inn, Sungai Petani Kedah. Program ini telah dihadiri melebihi 900 orang peserta yang terdiri daripada imam, jawatankuasa masjid, guru takmir dan guru KAFA seluruh negeri Kedah.
Multaqa ini dimulakan dengan slot perkongsian tentang Pindaan Akta 355 yang telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Mahamad Nasir bin Desa, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan YBhg Dato’ Shamsul Najmi bin Shamsuddin. Majlis perasmian multaqa dimulakan dengan ucapan aluan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapannya, beliau menasihatkan kepada para peserta supaya sentiasa peka kepada isu-isu semasa berkaitan dan sentiasa berwaspada dengan isu-isu yang ditularkan di media sosial dengan meneliti dan cuba mendapatkan pengesahan suatu berita yang diterima.Mutakhir ini, para murabbi perlu lebih peka, bijak dan berinformasi seiring dengan kepesatan kemajuan teknologi maklumat. Pengetahuan adalah pemacu utama dalam pembangunan sesebuah negara yang memberikan kita kuasa untuk mengatasi cabaran-cabaran masa kini dan akan datang sejajar dengan aspirasi negara untuk berubah menjadi masyarakat berpengetahuan. Peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan institusi-institusi agama yang lain dalam mengurus hal ehwal masyarakat Islam dilihat semakin mencabar. Tanpa institusi-institusi ini kemungkinan masyarakat Islam boleh berpecah. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan meletakkan harapan yang besar kepada para murabbi yang akan melaksanakan tugas sebagai pembimbing, pendidik serta ejen perpaduan, penyalur budaya dan ilmu yang baik dan tepat kepada masyarakat.
Seterusnya ucapan perasmian oleh YAB Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah bin Md. Hanipah, Menteri Besar Kedah Darul Aman. Dalam ucapan perasmiannya, beliau juga turut menekankan bahawa umat Islam perlu bersatu dan jangan membenarkan perbezaan politik memecah-belahkan hubungan sehingga membawa kepada permusuhan sesama sendiri. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kekuatan ukhuwah Islamiah dan perpaduan perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam.
“Justeru, saya meletak peranan yang penting kepada tuan-tuan dan puan-puan serta semua pihak termasuk golongan politik untuk kembali ke landasan yang betul supaya kita bersatu padu dalam menghadapi musuh sebenar kita iaitu penindasan dan fitnah terhadap umat Islam”.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah YB Dato’ Haji Mohd Rawi bin Haji Abd. Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Kedah Darul Aman dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, YBhg Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), YBhg Dato’ Hajjah Nafisah binti Haji Abdullah, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Kemuncak bagi program Multaqa Murabbi Ummah 2017 Peringkat Negeri Kedah tersebut ialah dengan penyampaian replika cek peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi bayaran imbuhan imam, elaun guru takmir, guru KAFA dan PPMD sebanyak RM 49,399,488.00 serta RM 466,500.00 secara one off kepada siak seluruh negeri Kedah.


1


PERUNTUKAN BESAR UNTUK PROGRAM IMARAH AGAMA


ALOR SETAR – Sejumlah RM44,543,652 diperuntukkan Kerajaan Pusat kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk pembayaran elaun kepada empat kumpulan penggerak aktiviti keagamaan di negeri ini sepanjang tahun ini.

Ia membabitkan elaun 2,772 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bernilai RM29.4 juta serta bakinya untuk pembayaran elaun bulanan 400 guru dan pembantu takmir di bawah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) selain elaun 1,636 Imam serta 12 Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD).

Peruntukan itu diagihkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang mewakili MAIK.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Istana Anak Bukit itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya, YB. Dato’ Mohd Rawi Abd Hamid.

YB. Dato’ Mohd Rawi Abd Hamid ketika ditemui berkata, peruntukan itu membuktikan Kerajaan Pusat sentiasa menyokong usaha membangunkan syiar Islam di Negeri Kedah, terutama dalam mengimarahkan program agama di negeri ini.

Majlis Perjumpaan Menteri bersama Guru KAFA, PPMD serta Imam seluruh Kedah

6 Mac 2013- Satu majlis perjumpaan di antara YAB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Senator Mejer Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom (B) bersama Guru Takmir , Guru Kafa, PPMD dan Imam seluruh kedah telah diadakan pada 2 Mac 2013 bertempat di Sek Men. Agama Yan, Yan, Kedah. Antara dif-dif kehormat yang turut hadir ialah Ketua Pengarah JAKIM serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah. Majlis ini bermula pada pukul 8.00 pagi . Peserta juga turut dihidangkan dengan Kertas Kerja bertajuk “Wasatiah dalam Islam” yang telah disampai kan oleh Ketua Biro Undang-undang MAIWP , Selain itu Ucaptama serta Perasmian telah disempurnakan Oleh YAB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom. Majlis ini berakhir pada pukul 1.00 petang.

Tuesday, February 19, 2019

Majlis Ijtimak YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah bersama Imam-Imam Negeri Kedah dan Pelancaran Program Penarafan Bilik Air dan Tempat Wuduk Masjid-Masjid Negeri Kedah

SELASA (12.02.2019)

ALOR SETAR - Majlis Ijtimak YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah bersama Imam-Imam Negeri Kedah dan Pelancaran Program Penarafan Bilik Air dan Tempat Wuduk Masjid-Masjid Negeri Kedah bertempat di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah.

Ucapan aluan oleh Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Kedah.

Ucapan oleh YB. Dato’ Dr. Ismail Salleh, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Ucapan dan Majlis Pelancaran Program Penarafan Bilik Air dan Tempat Wuduk Masjid-Masjid Negeri Kedah oleh YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah.

Dalam ucapan berikut untuk merealisasikan matlamat ini, saya mengingatkan diri saya dan Tuan-Tuan Imam, agar menghormati perbezaan pendapat termasuklah perbezaan politik serta tidak seharusnya perbezaan ini dibawa masuk ke dalam Masjid. Saya sangat mengharapkan agar institusi masjid tidak disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri dan pihak tertentu. Lebih dikesali bilamana ceramah, kononnya dakwah, diisi dengan cemuhan dan cercaan terhadap pihak tertentu serta tidak sesuai langsung ruang-ruang ibadah, di tempat yang suci, dicemari dengan kata-kata dan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Kita semua tentunya faham perbezaan antara dakwah dan ceramah politik. Dakwah mempunyai nilai keilmuan, manakala ceramah politik pula bertujuan untuk mempengaruhi pendengar terhadap sesuatu ideologi atau pemikiran kepartian. Walaupun ianya disulami dengan sirah dan hadith, ia tetap ceramah politik yang tidak bertujuan untuk berdakwah.

Jika mana-mana pihak ada masalah yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan, saluran yang betul perlu digunakan untuk menyampaikan aduan itu kepada pihak berkuasa. Apa tujuannya menyampaikan aduan itu atau mengkritik Kerajaan secara umum di dalam ceramah atau kuliah masjid jika bukan untuk meraih sokongan politik?

Oleh itu, sekali lagi saya berpesan, janganlah kita mencemari kesucian masjid dengan unsur-unsur politik kepartian itu. Gunakanlah masjid sebagai medan penyatuan Ummah sepertimana yang dituntut oleh Rasulullah SAW.

Inilah yang selalu dipesankan kepada kita oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Telah beberapa kali Baginda Tuanku bertitah, melarang masjid dijadikan medan berpolitik, melainkan berfungsi sebagai pusat ibadah dan lambang kepada syiar Islam serta tempat penyatuan ummah.

Begitu banyak lagi masalah masyarakat dan ummah yang wajar dibincangkan di masjid, umpamanya masalah sosial, gejala dadah, judi, hubungan luar nikah dan sebagainya, yang jauh lebih penting dari politik.

Saya amat berharap kita semua menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Tuanku Sultan. Atas perkenan Baginda jualah Tuan-tuan dilantik sebagai Imam di negeri ini.

Begitulah juga ahli-ahli parti politik, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, semestinya mentaati perintah Duli Tuanku dan menghormati institusi Masjid dengan tidak menjadikannya gelanggang politik sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

Turut hadir bersama YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Syeikh Fadhil Bin Awang, Mufti Negeri Kedah, Yang Dihormati Syeikh Radhi Bin Abdul Mutalib, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Tuan-tuan Imam Masjid di seluruh negeri Kedah Darul Aman.

SUMBER

Jakim peruntuk RM468 juta bayar elaun guru agama, imam

03/03/2015 3:51pm

ALOR SETAR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperuntuk RM468 juta tahun ini untuk membayar elaun guru agama, imam serta penyelaras pentadbiran masjid daerah di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan amat mengambil berat peranan yang dimainkan guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa), imam, guru Takmir dan jawatankuasa masjid dalam memimpin dan menyampaikan dakwah, sekali gus memartabatkan agama Islam

"Peranan yang dimainkan oleh guru-guru agama dan penyelaras pentadbiran masjid amat penting di dalam membangunkan Islam di negara ini," katanya ketika merasmikan Multaqa Imam, Guru Takmir, Guru Kafa dan Jawatankuasa Masjid Negeri Kedah hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu tahun ini, RM319 juta digunakan untuk membayar elaun 32,764 guru Kafa dan RM107 juta untuk membayar elaun 14,254 imam di seluruh negara. - Bernama

SUMBER

Imam perlu memainkan peranan dalam menyekat penyebaran ajaran sesat

2015-02-25
KUALA LUMPUR: Golongan imam perlu memainkan peranan lebih agresif dalam menyekat penyebaran ajaran sesat yang boleh mengelirukan dan merosakkan akidah umat Islam atau masalah lain daripada terus menular di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata imam perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan terdapat kegiatan menyeleweng dan penyebaran ajaran sesat di kawasan mereka.

"Perkara berkenaan tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh merebak dengan cepat jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengekangnya," kata beliau kepada pemberita selepas menutup Persidangan Imam Peringkat Kebangsaan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Masjid Negara, di sini pada Selasa.

Jamil Khir berkata imam juga perlu lebih agresif dalam memberi penerangan kepada masyarakat mengenai ajaran sesat dan menjalinkan hubungan rapat dengan pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam, polis dan pihak berkuasa tempatan.

"Hari ini kita dapat melihat, bagaimana Islam telah dicabar kesuciannya dengan pelbagai cara oleh pihak-pihak yang bernaung di bawah nama hak asasi manusia, liberalisme dan pluralisme dalam masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata imam juga perlu memastikan agar institusi masjid tidak dicemari dengan aktiviti negatif yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

"Masjid bukan tempat untuk menyebarkan fitnah dan mencerca antara satu sama lain kerana ini antara sifat-sifat orang munafik yang guna masjid untuk kepentingan diri tanpa mengira kepentingan orang lain," katanya.

Beliau berkata masjid seharusnya dijadikan medan untuk membimbing dan mencetuskan idea positif ke arah membentuk masyarakat yang progresif.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 22,000 masjid serta surau di seluruh negara dengan bilangan 14,254 imam, guru takmir (3,759), guru KAFA (32,764) dan penyelaras pentadbiran masjid daerah (PPMD)(171).

"Sekiranya digabungkan (jumlah imam, guru takmir, KAFA dan PPMD) ia mampu menjadi satu gelombang yang besar, satu kelompok masyarakat Islam dalam (mempromosi) perpaduan," katanya.

"Jika masyarakat Islam bersatu padu atas dasar agama, saya yakin kita tidak akan rapuh. Namun, jika kita berpijak atas dasar politik, sesama Islam pun kita akan bergaduh," katanya.

Persidangan selama tiga hari berakhir hari ini, menghimpunkan 150 imam dari seluruh negara.

Antara resolusi utama persidangan itu adalah penyelarasan jawatan gred imam besar negeri dan imam masjid daerah di seluruh negara, serta mewujudkan perjawatan tetap khususnya di masjid kariah yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan di kawasan bandar.

Resolusi lain ialah menaikkan kadar bayaran imbuhan imam masjid kariah daripada RM750 sebulan kepada kadar gaji minimum sebanyak RM900 sebulan dan mewujudkan pencalonan Tokoh Imam Kebangsaan seiring dengan Anugerah Masjid Malaysia.

Jamil Khir yang menyokong resolusi persidangan itu, berkata ia akan diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk diteliti secara mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

 

Source : Astro Awani  http://bit.ly/1DRo5ip

Kerajaan Lulus Tambahan Elaun RM600 Untuk Pegawai Penyelaras Masjid Daerah

Rabu, 16 November 2011 12:00 AM
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan tambahan elaun sebanyak RM600 kepada Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) yang akan mula berkuat kuasa Januari depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk menaikkan kadar elaun itu dari RM1,210 kepada RM1,810 ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) baru-baru ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini dalam peringkat perbincangan untuk menaikkan elaun lain seperti tuntutan perjalanan, perubatan dan elaun kos sara hidup (COLA), katanya.

"Menyedari beban tugas yang terpaksa dipikul oleh semua PPMD dan ada sesetengah kes seperti di Pontian, Johor seorang PPMD terpaksa menjaga 191 masjid, jadi kerajaan bantu mereka ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa PPMD seluruh negara di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini negara mempunyai 78 PPMD yang ditempatkan di Pejabat Agama Islam Daerah di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak. Sejak tahun 2002, PPMD tidak pernah menerima sebarang kenaikan elaun apatah lagi pemberian bonus seperti penjawat awam lain memandangkan PPMD dilantik tanpa bersandarkan pada mana-mana skim, katanya.

Jamil Khir berkata antara tugas utama PPMD adalah melaksana dan memantau program keagaamaan serta membantu pihak berkuasa agama negeri dalam mengurus tadbir masjid atau surau di negeri berkenaan.

Beliau juga berkata lebih ramai PPMD akan dilantik selepas mendapati jumlah PPMD sedia ada tidak mampu menyelaras pentadbiran semua masjid di negara ini yang kini 6,119 buah. - BERNAMA

SUMBER

Perjumpaan Exco Agama Bersama Penyelaras Pentadbiran Masjid Negeri Kedah Darul Aman

ALOR SETAR, 19 JULAI 2020 - Suatu Perjumpaan Exco Agama Bersama Penyelaras Pentadbiran Masjid Negeri Kedah Darul Aman telah diadak...